Sunday, November 18, 2018

Keperihalan : Tempar Tinggal Dilanda Banjir Besar

Baru-baru ini tempat tinggal anda telah dilanda banjir besar yang menyebabkan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan

Perihalkan keadaan tersebut.

_________________________________________________________________________________

RANGKA KARANGAN


Pendahuluan
banjir berlaku saban tahun - musim tengkujuh - punca banjir - sungai cetek - mendapan tanah - hujan yang turun tidak berhenti-henti
Isi-isi penting

  • kawasan tempat tinggal saya - di Terengganu - dilanda banjir - lebih teruk pada tahun ini
  • berpunca daripada hujan lebat - sistem perparitan yang tidak sempurna - projek pembangunan yang tidak dirancang dengan baik 
  • air naik dengan cepat - kelengkapan rumah tidak sempat diselamatkan 
  • diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara - Jabatan Bomba dan Penyelamat - di sebuah sekolah - tidak selesa
  • menghadapi bencana dengan sabar - banyak pihak memberikan bantuan dan sumbangan
Penutup
banjir surut - dibenarkan pulang - diberikan taklimat oleh wakil rakyat - membersihkan rumah - keadaan kembali seperti sedia kala
_________________________________________________________________________________

MODEL KARANGAN 


          Kejadian banjir sering berlaku oada saban tahun, terutama pada musim tengkujuh. Hal ini disebabkan oleh sungai yang tidak dapat menampung limpahan air kerana cetek. Keadaan ini berpunca daripada mendapan tanah hasil hakisan di kawasan-kawasan bukit yang diterokai untuk aktiviti pertanian dan pembangunan, di samping hujan lebat yang turun tidak berhenti-henti.

          Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini kawasan tempat tinggal saya yang terletak di Terengganu turut dilanda banjir. Walau bagaimananpun, tidak seperti tahun sebelumnya, bencana yang melanda pada tahun ini lebih teruk. Air naik begitu cepat dan melebihi paras yang biasa. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sempurna, selain pembukaan banyak kawasan perumahan yang baharu di sekitar bandar tempat tinggal saya. Sistem saliran yang tidak sempurna, di samping projek pembangunan yang tidak dirancang dengan baik menyumbang kepada bencana yang berlaku.

          Kebanyakan penduduk tidak sempat meyelamatkan barang-barang berharga mereka disebabkan paras air yang meningkat secara mendadak. Kebanyakan kelengkapan rumah seperti peti sejuk, sofa dan sebagainya tidak sempat diselamatkan. Selain itu, buku-buku dan kelengkapan sekolah anak-anak turut musnah. Mujurlah kebanyakan penduduk telah memindahkan kenderaan masing-masing ke kawasan yang lebih tinggi untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar. Memandangkan paras air yang semakin meningkat, kami telah diarahkan supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara.

          Kami telah dipindahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat ke Sekolah Kebangsaan Manir. Sepanjang kami berada di pusat pemindahan ini, sesi persekolahan terpaksa dihentikan. Keadaan di pusat pemindahan sememangnya tidak selesa. Beberapa buah keluarga berkongsi dewan sekolah yang agak sempit. Namun begitu, kami menghadapi keadaan itu dengan sabar. Banyak pihak yang memberikan bantuan kepada kami. Sikap bertolak ansur, bantu-membantu, dan mesra yang ditunjukkan oleh pihak sukarelawan mengurangkan keresahan semua mangsa. Banyak juga pihak yang prihatin dengan menghulurkan sumbangan dalam bentuk makanan, pakaian, selimut, dan barangan keperluan harian.

          Setelah hampir seminggu berada di pusat pemindahan, semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila banjir surut. Sebelum pulang, wakil rakyat kawasan kami telah memberikan taklimat tentang bentuk bantuan yang akan dihulurkan kepada mangsa, selain mengingatkan kami supaya sentiasa mementingkan kebersihan untuk mengelakkan jangkitan penyakit yang sering berlaku selepas banjir. Kami kemudiannya memulakan kerja-kerja membersihkan rumah. Beberapa minggu kemudian, keadaan kembali seperi sediakala.



          

Saturday, November 17, 2018

Ceramah : Rahsia Menjadi Pelajar Cemerlang

Sebagai seorang pelajar cemerlang di sekolah anda, anda telah diminta untuk menyampaikan ceramah kepada rakan-rakan anda yang bakal menduduki Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga nanti. Tajuk ceramah anda ialah "Rahsia Menjadi Pelajar Cemerlang".


Sediakan teks ceramah itu selengkapnya.

_________________________________________________________________________________

MODEL KARANGAN


          Terima Kasih diucapkan kepada pengerusi majlis. Yang berusaha Tuan Haji Muhammad bin Abdul Ghani, pengetua Sekolah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, guru-guru, saf kepimpinan pelajar dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Saya ingin berterima kasih kepada pihak majlis kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Rahsia Menjadi Pelajar Cemerlang".

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,

          Seperti yang kita sedia maklum, pelajar-pelajar tingkatan tiga di sekolah kita akan menduduki Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga tidak lama lagi. Oleh itu, mereka perlu melakukan pelbagai usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu. Bagi membantu mereka, saya ingin berkongsikan beberapa rahsia yang dapat membantu mereka menggenggam kecemerlangan tersebut. Antara rahsia untuk menjadi pelajar cemerlang termasuklah bijak membahagikan masa. Seorang pelajar perlulah cekap dalam membahagikan masa mereka untuk belajar dan beriadah. Hal ini demikian kerana kita juga perlu meluangkan masa untuk beriadah seperti bermain badminton dan berjoging untuk mempunyai badan dan minda yang sihat. Bak cogan kata, badan sihat, otak cerdas. Seseorang yang hanya meluangkan masa dengan mengulang kaji pelajaran sudah tentu dapat membahayakan kesihatan, sama ada dari aspek fizikal mahupun mental. Sebagai contoh, kita dapat menyediakan jadual belajar peribadi bagi membantu kita membahagikan waktu belajar dan beriadah secara teratur. Ringkasnya, saya ingin menegaskan bahawa bijak membahagikan masa amat penting untuk menjadi pelajar yang cemerlang.

          Selain itu, memberikan tumpuan ketika guru mengajar juga merupakan salah satu rahsia menjadi pelajar cemerlang. Apabila kita fokus semasa guru mengajar, sudah tentu kita dapat memahami sesuatu topik itu dengan mudah dan lancar. Sekiranya tidak kita tidak memahami sesuatu topik yang kompleks seperti mata pelajaran matematik dan sains, kita boleh bertanya kepada guru agar tidak ketinggalan dalam sesi pembelajaran di dalam kelas. Memberi tumpuan ketika guru mengajar juga merupakan salah satu adab menghormati guru. Hal ini dibuktikan apabila kebanyakan pelajar yang bermain ketika guru mengajar gagal dalam peperiksaan kerana tidak mendapat keberkatan guru. Oleh itu, saya sekali lagi menegaskan bahawa memberi tumpuan ketika guru mengajar adalah amat penting untuk berjaya dalam pelajaran.

          Di samping itu, sentiasa mengulang kaji pelajaran juga merupakan rahsia untuk menjadi pelajar cemerlang. Pelajar-pelajar kini gemar mengulang kaji pelajaran pada saat-saat akhir kerana mereka berpendapat bahawa cara tersebut merupakan cara yang terbaik. Namun, menurut kajian bahawa belajar pada saat-saat akhir merupakan cara yang salah untuk berjaya. Hal ini kerana kita akan terdorong untuk belajar dalam keadaan tertekan dan ilmu yang diperolehi akan cepat hilang. Sebagai contoh, kita hendaklah meluangkan sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran. Pelajar-pelajar cemerlang juga telah membuktikan bahawa kaedah ini antara kaedah yang berkesan untuk memperoleh ilmu.

Rakan-rakan sekalian,

          Akhir sekali, dorongan dan bimbingan daripada guru dan ibu bapa merupakan antara faktor utama dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Guru-guru dan ibu bapa bertanggungjawab untuk menyuntik semangat dalam diri pelajar. Sebagai contoh, ibu bapa hendaklah sentiasa meberikan kata-kata semangat kepada anak-anak agar kekal positif dan bersungguh-sungguh dalam mengecapi kejayaan. Doa dan solat hajat juga merupakan aspek utama untuk berjaya dalam pelajaran. Oleh itu, saya ingin menyatakan bahawa dorongan dan bimbingan adalah amat penting untuk cemerlang sambil diiringi doa dan solat hajat.

          Intihanya, kita sebagai pelajar hendaklah berusaha untuk mencapai kejayaan yang diimpikan. Bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung manakan daoat sagunya. Oleh itu, saya berharap agar ceramah saya dapat dimanfaatkan oleh rakan-rakan terutamanya pelajar tingkatan tiga yang bakal menduduki peperiksaan nanti. Saya sudahi ceramah saya dengan serangkap pantun,

   Anak raja makan sirih,
   Sekian saja terima kasih.