Baru-baru ini tempat tinggal anda telah dilanda banjir besar yang menyebabkan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan
Perihalkan keadaan tersebut.
_________________________________________________________________________________
RANGKA KARANGAN
Pendahuluan
banjir berlaku saban tahun - musim tengkujuh - punca banjir - sungai cetek - mendapan tanah - hujan yang turun tidak berhenti-henti
Isi-isi penting
- kawasan tempat tinggal saya - di Terengganu - dilanda banjir - lebih teruk pada tahun ini
- berpunca daripada hujan lebat - sistem perparitan yang tidak sempurna - projek pembangunan yang tidak dirancang dengan baik
- air naik dengan cepat - kelengkapan rumah tidak sempat diselamatkan
- diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara - Jabatan Bomba dan Penyelamat - di sebuah sekolah - tidak selesa
- menghadapi bencana dengan sabar - banyak pihak memberikan bantuan dan sumbangan
Penutup
banjir surut - dibenarkan pulang - diberikan taklimat oleh wakil rakyat - membersihkan rumah - keadaan kembali seperti sedia kala
_________________________________________________________________________________
MODEL KARANGAN
Kejadian banjir sering berlaku oada saban tahun, terutama pada musim tengkujuh. Hal ini disebabkan oleh sungai yang tidak dapat menampung limpahan air kerana cetek. Keadaan ini berpunca daripada mendapan tanah hasil hakisan di kawasan-kawasan bukit yang diterokai untuk aktiviti pertanian dan pembangunan, di samping hujan lebat yang turun tidak berhenti-henti.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini kawasan tempat tinggal saya yang terletak di Terengganu turut dilanda banjir. Walau bagaimananpun, tidak seperti tahun sebelumnya, bencana yang melanda pada tahun ini lebih teruk. Air naik begitu cepat dan melebihi paras yang biasa. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sempurna, selain pembukaan banyak kawasan perumahan yang baharu di sekitar bandar tempat tinggal saya. Sistem saliran yang tidak sempurna, di samping projek pembangunan yang tidak dirancang dengan baik menyumbang kepada bencana yang berlaku.
Kebanyakan penduduk tidak sempat meyelamatkan barang-barang berharga mereka disebabkan paras air yang meningkat secara mendadak. Kebanyakan kelengkapan rumah seperti peti sejuk, sofa dan sebagainya tidak sempat diselamatkan. Selain itu, buku-buku dan kelengkapan sekolah anak-anak turut musnah. Mujurlah kebanyakan penduduk telah memindahkan kenderaan masing-masing ke kawasan yang lebih tinggi untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar. Memandangkan paras air yang semakin meningkat, kami telah diarahkan supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Kami telah dipindahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat ke Sekolah Kebangsaan Manir. Sepanjang kami berada di pusat pemindahan ini, sesi persekolahan terpaksa dihentikan. Keadaan di pusat pemindahan sememangnya tidak selesa. Beberapa buah keluarga berkongsi dewan sekolah yang agak sempit. Namun begitu, kami menghadapi keadaan itu dengan sabar. Banyak pihak yang memberikan bantuan kepada kami. Sikap bertolak ansur, bantu-membantu, dan mesra yang ditunjukkan oleh pihak sukarelawan mengurangkan keresahan semua mangsa. Banyak juga pihak yang prihatin dengan menghulurkan sumbangan dalam bentuk makanan, pakaian, selimut, dan barangan keperluan harian.
Setelah hampir seminggu berada di pusat pemindahan, semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila banjir surut. Sebelum pulang, wakil rakyat kawasan kami telah memberikan taklimat tentang bentuk bantuan yang akan dihulurkan kepada mangsa, selain mengingatkan kami supaya sentiasa mementingkan kebersihan untuk mengelakkan jangkitan penyakit yang sering berlaku selepas banjir. Kami kemudiannya memulakan kerja-kerja membersihkan rumah. Beberapa minggu kemudian, keadaan kembali seperi sediakala.
Setelah hampir seminggu berada di pusat pemindahan, semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila banjir surut. Sebelum pulang, wakil rakyat kawasan kami telah memberikan taklimat tentang bentuk bantuan yang akan dihulurkan kepada mangsa, selain mengingatkan kami supaya sentiasa mementingkan kebersihan untuk mengelakkan jangkitan penyakit yang sering berlaku selepas banjir. Kami kemudiannya memulakan kerja-kerja membersihkan rumah. Beberapa minggu kemudian, keadaan kembali seperi sediakala.