Thursday, October 4, 2018

Rangka Karangan (Insyak) Bagi Tajuk "Lawatan"

Rangka Karangan (Insyak) Bagi Tajuk "Lawatan"

Rangka Karangan (Insyak) yang bersesuaian dengan semua jenis karangan tajuk lawatan bagi mata pelajaran bahasa arab. Dengan menggunakan pelbagai kosa kata yang mudah dan padat, contoh ini dapat membantu pelajar untuk menghafalnya dalam masa yang singkat disamping dapat membantu pelajar dalam menyiapkan kerja rumah dan semasa menjawab peperiksaan.


insyak bahasa arab insyak bahasa arab spm insyak bahasa arab pt3 contoh insya bahasa arab beserta artinya contoh insyak bahasa arab contoh karangan insyak bahasa arab cara membuat insya bahasa arab contoh insya bahasa arab dan artinya karangan insyak bahasa arab contoh insya' bahasa arab stam contoh insya bahasa arab smp insya bahasa arab tinggi


Rangka Karangan (Insyak) Bagi Tajuk Umum

RANGKA KARANGAN (INSYAK) BAGI TAJUK UMUM

Rangka Karangan (Insyak) yang bersesuaian dengan semua jenis karangan tajuk umum bagi mata pelajaran bahasa arab. Dengan menggunakan pelbagai kosa kata yang mudah dan padat, contoh ini dapat membantu pelajar untuk menghafalnya dalam masa yang singkat disamping dapat membantu pelajar dalam menyiapkan kerja rumah dan semasa menjawab peperiksaan.

Rangka karangan (insyak) bagi tajuk umum

Wednesday, October 3, 2018

Perbualan : Anugerah Murid Terbaik Sekolah

Rakan anda telah menerima anugerah murid terbaik sekolah anda. Anda berkesempatan berbual-bual dengannya tentang kejayaan tersebut.


Tulis perbualan anda dengan rakan anda selengkapnya.

_________________________________________________________________________________

RANGKA KARANGAN


Pendahuluan
menyapa sahabat - mengucapkan tahniah atas kejayaan
Isi-isi penting

  • tidak menyangka akan terpilih - banyak murid lain yang lebih layak
  • merendah diri - memang layak - merupakan hasil gigih sendiri - kejayaan tidak akan melalaikan 
  • cara lulus dengan cemerlang - selalu mengulang kaji pelajaran - mengisi masa dengan aktiviti berfaedah - perbincangan dengan kumpulan belajar - nasihat ibu bapa dan guru dijadikan panduan - bantuan kawan-kawan
Penutup
berharap agar cita-cita tercapai - ucapan terima kasih
_________________________________________________________________________________

MODEL KARANGAN


Aida      : Hai Farhana! Apa khabar? Tahniah atas kejayaan awak menerima anugerah murid 
                cemerlang sekolah kita!

Farhana : Hai, Aida! Khabar baik.Terima kasih. Saya pun tidak menyangka bahawa saya akan terpilih
                sebagai murid cemerlang sekolah kita. Banyak murid lain yang lebih layak daripada saya.

Aida      : Awak memang selalu merendah diri. Dengan keputusan yang cemerlang dalam 
                peperiksaan akhir tahun, mewakili sekolah pada peringkat daerah dalam pelbagai 
                pertandingan seperti pidato dan perbahasan selain menjadi Presiden Persatuan Puteri 
                Islam, awak memang layak menerima anugerah itu. Kejayaan awak merupakan hasil
                usaha gigih awak sendiri.

Farhana : Yalah. Penat lelah saya telah membuahkan hasil. Namun begitu, kejayaan ini bukanlah 
                 sesuatu yang akan melalaikan saya kerana kejayaan sebenar ialah lulus dengan cemerlang 
                 dalam peperiksaan besar pada masa akan hadapan dan seterusnya melanjutkan pelajaran
                 ke universiti

Aida      : Bagaimanakah awak mampu lulus dengan cemerlang dalam semua mata pelajaran? 

Farhana : Saya selalu mengulang kaji pelajaran di rumah. Saya sentiasa mengisi masa lapang dengan
                 aktiviti berfaedah seperti membaca buku dan kerap mengadakan perbincangan kumpulan
                 dengan kumpulan belajar saya. Saya juga menjadikan nasihat ibu bapa dan guru-guru 
                 sebagai panduan dan sentiasa membaiki setiap pencapaian saya dari semasa ke semasa.
                 Kawan-kawan juga banyak membantu saya dalam pelajaran.

Aida      : Apakah azam awak selepas ini?

Farhana : Saya ingin melanjutkan pelajaran pada peringkat yang paling tinggi. Saya akan berusaha 
                 dengan lebih gigih untuk mencapai cita-cita saya iaitu hendak menjadi doktor pakar 
                 jantung.

Aida      : Saya doakan agar cita-cita awak itu akan tercapai.

Farhana : Terima kasih, Aida.



Peribahasa

  • merendah diri - tidak sombong

Tuesday, October 2, 2018

Peribahasa : Nasi Sudah Menjadi Bubur

Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa "nasi sudah menjadi bubur ".


_________________________________________________________________________________

RANGKA KARANGAN


Pendahuluan
Ain Ida - anak emas Encik Kamal - murid Tingkatan 3 Muslim di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong - baik dan rajin
Isi-isi penting

  • ke sekolah dihantar oleh ayah - pengurus sebuah syarikat - semakin sibuk - tidak dapat menjemputnya di sekolah - tidak menghadiri kelas tambahan 
  • ibunya pemandu pelancong - banyak menghabiskan masa di luar rumah - bimbang - akan menduduki PT3
  • meminta ayanya membelikan sebuah basikal - memudahkannya ke sekolah
  • suatu hari - bangun lewat - tergesa-gesa ke sekolah - terbabit dalam kemalangan 
  • cedera parah - dibawa ke hospital - meninggal dunia
Penutup
ibu bapanya amat kesal - sepatutnya mengutamakan kebaikan anak mereka - nasi sudah menjadi bubuk
_________________________________________________________________________________

MODEL KARANGAN


          Ain Ida merupakan anak emas Encik Kamal dan isterinya, Puan Zainab. Dia juga anak tunggal kepada pasangan suami isteri itu. Ain Ida belajar dalam kelas Tingkatan 3 Muslim di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong. Jarak rumahnya dari sekolah lebih kurang lima kilometer sahaja. Ida seorang murid yang bijak dan rajin. Di sekolah, dia selalu menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain. Dia selalu mendapat tempat pertama dalam peperiksaan. Dia juga murid kesayangan guru-gurg di sekolahnya itu.

         Setiap hari, Encik Kamal menghantar dan menjemput anaknya dari sekolah. Namun demikian, kebelakangan ini Encik Kamal yang merupakan pengurus di sebuah syarikat swasta sibuk, disebabkan syarikatnya telah memulakan operasi di luar negara. Kesibukan Encik Kamal kadangkala menyebabkannya tidak dapat menjemput Ain Ida dari sekolah. Kadangkala, Ain Ida tidak dapat meghadiri kelas tambahan kerana ayahnya tidak pulang. Puan Zainab juga sibuk. Sebagai pemandu pelancong, Puan Zainab banyak menghabiskan masa di luar rumah. Keadaan ini membimbangkan Ain Ida memandangkan dia akan menduduki ujian PT3 tahun ini.

          "Kalau ada basikal, sudah tentu ayah tidak perlu menghantar dan menjemput Ida di sekolah," kata Ain Ida pada suatu hari kepada ibunya.

          Ibu Ain Ida membincangkan permintaan anaknya itu dengan suaminya. "Saya rasa bagus juga. Lagipun, sekolah tidak jauh dari rumah kita," kata Encik Kamal.

          Keesokan harinya, Encik Kamal membeli sebuah basikal untuk Ain Ida. Ain Ida berasa amat gembira. Setiap hari dia ke sekolah dengan menunggang basikal tersebut. Kini ayahnya mempunyai lebih banyak masa kerana tidak perlu mengahntarnya ke sekolah lagi.

          Pada suatu hari, Ain Ida bangun  agak lewat. Dia tergesa-gesa bersiap ke sekolah. Tanpa bersarapan terlebih dahulu, dia menunggang basikalnya dengan laju. Malang tidak berbau. Ketika tiba di suatu simpang, Ain Ida yang membelok di selekoh jalan tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan, telah dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal yang ditunggang secara laju. Ain Ida cedera parah dan dibawa ke hospital oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian. Ibu bapa Ain Ida dihubungi. Mereka bergegas ke hospital. Apabila mereka sampai di hospital, mereka dimaklumkan oleh doktor bahawa anak mereka telah meninggal dunia.

          Ibu bapa Ain Ida berasa amat kesal. Mereka sepatutnya megutamakan kebajikan anak mereka. Walau bagaimanapun, nasi sudah menjadi bubur . Mereka telah kehilangan anak kesayangan mereka.


Peribahasa

  • anak emas - orang yang menjadi kesayangan
  • malang tidak berbau - kemalangan atau kecelakaan berlaku tanpa diduga
  • nasi sudah menjadi bubur - perbuatan yang sudah terlanjur dan tidak dapat diubah lagi

Fakta : Kebaikan Permainan Tradisional

Permainan elektronik yang menjadi kegilaan remaja pada masa ini telah menyebabkan permainan tradisional semakin pupus walhal permainan tradisional mempunyai kebaikan yang tersendiri.


Huraikan kebaikan permainan tradisional.


_________________________________________________________________________________

RANGKA KARANGAN


Pendahuluan 
semakin ramai generasi muda meminati permainan elektronik - ibu bapa sanggup berbelanja ribuan ringgit demi memenuhi minat anak mereka - permainan tradisional semakin dipinggirkan
Isi-isi penting

  • mengeratkan hubungan keluarga atau masyarakat - biasanya permainan tradisional dimainkan secara berpasangan atau berkumpulan - meningkatkan persaan kasih sayang dan kemesraan
  • membina sikap sabar dan kerjasama - bersabar dalam menuju kejayaan - bekerjasama merancang strategi untuk menang
  • menjimatkan wang - peralatan dijual dengan harga yang berpatutan dan sesetengahnya dapat dibuat sendiri - tidak memerlukan kuasa elektrik atau bateri untuk menggerakkannya
Penutup
permainan tradisional harus dipulihara agar kekal dalam seni budaya masyarakat - semua pihak harus bertanggungjawab untuk mengekalkan permainan tradisional
_________________________________________________________________________________

MODEL KARANGAN


          Muthakir ini, semakin ramai generasi muda yang meminati permainan elektronik. Malahan, terdapat sesetengah ibu bapa yang sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk membeli permainan tersebut semata-mata mahu memenuhi minat anak mereka. Kegilaan remaja terhadap permainan elektronik ini telah menyebabkan permainan tradisional yang pernah popular semakin dipinggikan walhal permainan tradisional banyak kebaiknnya.

          Antara kebaikan permainan tradisional ialah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan atau persahabatan. Sama ada permainan tradisional itu dimainkan secara individu, berpasangan, atau berkumpulan, seperti wau, batu seremban, konda kondi, dan lain-lain, lazimnya mereka bersorak dan bertepuk tangan bersama-sama semasa bermain. Suasana bertambah meriah apabila pemain menyokong ahli kumpulan masing-masing. Hal ini dapat meningkatkan perasaan kasih sayang antara ahli keluarga. Malahan, permainan sedemikian akan mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat.

          Selain itu, permainan tradisional juga dapat membina sikap sabar dan kerjasama dalama kalangan pemainnya. Dalam menuju kemenangan, permain bersavar untuk menyudahkan permainan, seperti permainan dam aji dan dam ular sehingga diiktiraf sebagai pemenang. Bagi permainan berkumpulan pula, contohnya sepak raga, para pemain saling bekerjasama merancang strategi untuk memenangi permainan tersebut. Kedua-dua sikap positif ini dapak diaplikasikan dalam kehidupan pemain sehari-harian.

          Pemainan tradisional juga menjimatkan wang, Harga permainan tradisional yang dijual di pasaran sekitar puluhan ringgit sahaja malahan terdapat permainan yang dapat dihasilkan sendiri menggunakan kreativiti masing-masing, sebagai contoh, permainan sepak bulu ayam daripada bulu ayam yang berwarna-warni dan batu seremban daripada perca kain, Lagi pula, permainan tradisional tidak memerlukan peralatan tambahan dan tenaga elektrik atau bateri  untuk menggerakkannya. Hal ini sangat berbeza dengan permainan elektronik.

          Kesimpulannya, permainan tradisional memang banyak manfaatnya berbanding dengan permainan elektronik. Oleh itu, semua pihak haru memulihara permainan ini agar terus kekal dalam seni budaya masyarakat.


Monday, October 1, 2018

Perbahasan : Kebaikan Internet

"Internet memberikan lebih banyak kebaikan".


Tulis hujah-hujah anda sama ada menyokong atau membantah pernyataan ini


_________________________________________________________________________________

RANGKA KARANGAN


Pendahuluan
definisi internet - rangkaian komputer antarabangsa - pengguna dapat berhubung - memperoleh maklumat pangkalan data dari seluruh dunia
Isi-isi penting

  • pendirian - menyokong - internet menambah ilmu pengetahuan - banyak laman web yang berinformasi - menjadikan seseorang berpengetahuan luas
  • internet merapatkan jarak perhubungan - mengeratkan silaturahim 
  • memudahkan penghantaran maklumat - menjimatkan masa dan tenaga
  • untuk proses pengajaran dan pembelajaran - sebagai rujukan - perpustakaan maya yang besar - pembelajaran secara dalam talian 
Penutup
kebaikan internet mengatasi keburukan - wadah pengetahuan pada zaman ini
_________________________________________________________________________________

MODEL KARANGAN


          Secara umumnya, internet merupakan rangkaian komputer antarabangsa. Pengguna internet dapat berhubung antara satu sama lain dan memperoleh apa-apa maklumat pangkalan data dari seluruh dunia. Internet sesungguhnya memberi lebih banyak kebaikan kepada manusia berbanding dengan alat komunikasi yang lain.

          Terdapat pelbagai laman web berinformasi dalam internet yang dapat dimanfaatkan oleh pengguna. Maklumar yang diperoleh bukan sahaja menambahkan ilmu pengetahuan malahan menjadikan pengguna sentiasa peka akan perkembangan semasa di dunia. hal ini menjadikan pengguna internet berpengetahuan luas.

          Teknologi internet juga merapatkan jarak perhubungan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, sahabat handal, dan juga kenalan. Melalui kemudahan mel elektronik, pengguna dapat saling berhubungan dan bertukar-tukar maklumat dengan cepat dan mudah. Di samping itu juga, internet memudahkan penghantaran maklumat penting walhal berada pada jarak beribu-ribu kilomter, selain menjimatkan masa dan tenaga.

          Sebagai murid, kita dapat memanfaatkan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Internet dapat menjadi medium rujukan dan merupakan perpustakaan maya yang menyimpan banyak khazanah ilmu pengetahuan. Maklumat yang diperoleh cepat, mudah, dan menjimatkan masa, Pembelajaran secara dalam talian juga dapat dilakukan melalui internet.

          Kesimpulannya, kebaikan internet mengatasi keburukannya. Oleh itu, wajarlah internet dianggap sebagai wadah pengetahuan pada zaman ini.



Laporan : Lawatan Ke Tempat Bersejarah

Persatuan Sejarah anda telah mengadakan lawatan sambil belajar ke satu tempat bersejarah. Selaku setiausaha persatuan, anda dikehendaki menulis laporan tentang lawatan tersebut.


Sediakan laporan itu selengkapnya

 _________________________________________________________________________________

RANGKA KARANGAN


Pendahuluan
tajuk laporan - menyatakan tempat lawatan, tarikh, bilangan peserta, dan tujuan lawatan
Isi-isi penting

  • berkumpul di sekolah - pukul 7.00 pagi - menaiki bas - tiba 8.30 pagi - disambut oleh pengawai yang bertugas - memberikan taklimat tentang tempat tersebut
  • dibawa melawat ke kompleks bersejarah - tertarik akan keberanian pahlawan menghadapi penjajah Inggeris - menayangkan dokumentari tentang sejarah Pasir Salak dan tragedi pembunuhan Residen Inggeris
  • gerai makanan dan minuman - gerai kraf tangan di sekitar kompleks - rantai kunci, bingkai gambar, dan gambar pejuang terdahulu
  • lawatan berakhir pukul 1.30 tengah hari - kembali ke sekolah - pengalaman yang berharga dan menanam semangat cinta akan negara 
Penutup
pengakuan pelapor, tandatangan, tarikh, nama pelapor, dan jawatan
_________________________________________________________________________________

MODEL KARANGAN


Laporan Lawatan sambil Belajar ke Kompleks Sejarah Pasir Salak

          Pda 25 Febuari yang lalu, Persatuan Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim Talib, Teluk Intan telah mengadakan lawatan ke Kompleks Sejarah Pasir Salak. Seramai 32 orang ahli persatuan menyertai lawatan ini dengan diikuti oleh empat orang guru penasihat. Tujuan lawatan ini adalah untuk memberikan informasi yang tepat kepada murid-murid khususnya ahli Persatuan Sejarah sekolah ini tentang sejarah tempatan.

          Seawal pukul 7.00 pagi, semua guru pengiring dan peserta rombongan peserta berkumpul di dataran kejat sekolah ini. Tidak lama kemudian , semua ahli rombongan menaiki bas menuju ke Kompleks Sejarah Pasir Salak. kami selamat sampai di perkarangan kompleks berkenaan pada pukul 8.30 pagi. Ketibaan kami disambut oleh Pengawai Perhubungan Kompleks Bersejarah Pasir Salak, Tuan Haji Hanafiah bin Dolah.Beliau membawa kami ke bilik persidangan.

          Di bilik persidangan itu, Tuan haji Hanafiah mengalu-alukan kedatangan kami. Beliau berbangga kerana ahli-ahli Persatuan Sejarah sekolah ini mempunyai minat yang mendalam untuk mengetahui sejarah yang berlaku di negeri Perak. Menurut beliau, generasi muda seharusnya mengetahui sejarah tempatan supaya dapat mengambil iktibar tentang perkara yang berlaku. Beliau seterusnya memberikan taklimat secara ringkas tentang sejarah penubuhan kompleks ini yang tercetus daripada idea mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli bin Ngah Talib yang juga cicit Datuk Sagor, seorang pejuang Melayu yang menentang Inggeris.

          Selepas taklimat tersebut, kami dibawa melawat ke sekitar kompleks. Kami dapat melihat banyak gambar dan ilustrasi yang dipaparkan mengenai keberanian orang Melayu menentang penjajah Inggeris. Menurut fakta tersebut, orang Melayu bangkit menentang Inggeris kerana Residen Inggeris yang bertugas bukan sahaja  telah mencabar kedaulatan raja-raja tetapi telah melanggar adat susila orang Melayu. Tambahan pula, kadar cukai yang dikenakan terhadap penduduk amat membebankan mereka. Menurut Tuan Haji Hanafiah, satu mesyuarat telah diadakan di Durian Sebatang. Mesyuarat itu disertai pembesar-pembesar Melayu seperti Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor. Dalam mesyuarat ini, para pembesar Melayu bersepakat untuk membunuh Residen Inggeris, JWW Birch. Sepumtun telah ditugaskan untuk membunuh residen tersebut. Sultan Abdullah turut menyokong persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut.

          Sebelum pulang, kami juga dibawa berkunjung ke gerai-gerai yang menjual makanan dan minuman. Terdapat juga gerai yang menjual kraf tangan yang berkaitan dengan kompleks ini seperti rantai kunci, bingkai gambar, dan gambar pejuang-pejuang Melayu terdahulu.

          Lawatan kami berakhir pada pukul 1.30 tengah hari apabila semua peserta menaiki bas untuk kembali ke sekolah. Sesungguhnya, lawatan ini amat bermakna kerana dapat membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan peserta selain memberikan pengalaman yang menarik.

Laporan disediakan oleh,
           Adli                       
(MUHAMMAD ADLI BIN ZAMRI)
Setiausaha Persatuan Sejarah,
Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim Talib.

Surat Tidak Rasmi : Tempat - Tempat Menarik Di Malaysia


Sahabat pena anda yang tinggal di luar negara ingin mengetahui tempat - tempat menarik di negara anda.



Balas surat sahabat anda itu selengkapnya.


_________________________________________________________________________________


RANGKA KARANGAN


Pendahuluan
menulis kepala surat (alamat pengirim dan tarikh) serta kata panggilan hormat
Isi-isi penting
  • bertanyakan khabar sahabat - berharap agar sahabat sihat walafiat - sibuk dengan persiapan menghadaupi peperiksaan pertengahan tahun
  • bangga kerana sahabat berminat untuk mengetahui tempat - tempat yang menarik - bertambah teruja apabila sahabat menyatakan keinginan untuk datang
  • teruja apabila sahabat berhasrat untuk berkunjung ke Malaysia - menceritakan destinasi menarik di Malaysia 
  • destinasi berfokus kepada keindahan alam semula jadi - seperti hutan simpan , gunung - ganang, pulau peranginan, dan pantai - melepaskan tekanan dan melapangkan fikiran
  • kunjungan ke tempat - tempat bersejarah dapat menambahkan pengetahuan sejaran dan pengalaman - memperlihatkan kisah perjuangan orang Melayu menentang penjajah
  • kunjungan ke taman tema air memberikan keseronokan dan kepuasan - boleh mengunjungi pasar rahya besar - harga berpatutan
Penutup
ucapan sekian dan terima kasih, pengakuan pengirim, dan tandatangan 
 _________________________________________________________________________________

MODEL KARANGAN

No.273,Taman Melati,
Jalan Haji Sulong,
32400 Teluk Intan,
Perak.

25 April 2015

          Menemui sahabatku, George yang berada di Toronto, semoga sihat sejahtera hendaknya, di samping keluarga yang tersayang. Bagi diri saya di sini sihat walafiat sahaja. Cuma pada masa ini, saya agak sibuk dengan persiapan menghadapi peperiksaan pertengahan tahun yang akan dijalankan pada minggu hadapan.

          Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kiriman warkah daripada saudara yang saya terima pada minggu lepas. Saya berasa bangga kerana saudara berminat untuk mengetahui tempat-tempat yang menarik di negara saya yang sememangnya antara destinasi pelancongan. Malahan, saya bertambah teruja apabila saudara menyatakan keinginan saudara untuk melancong ke sini suatu masa nanti. Saudara pasti tidak menyesal datang ke sini kerana negara saya menjanjikan pelbagai pengalaman indah kepada saudara.

Saudara,

          Industri pelancongan di Malaysia berfokus kepada keindahan alam semula jadi seperti hutan simpan, gunung - ganang, pulau peranginan dan pantai. Antara destinasi yang menawarkan pemandangan yang indah ialah Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah. Saudara boleh mendaki gunung ini dan merasai pelbagai pengalaman yang mencabar. Di samping itu, saudara juga boleh makan angin di Pulau Tioman yang merupakan antara pulau tercantik di dunia. Malahan, saudara juga boleh meneroka Gua Tempurung di Ipoh, Perak. Tempat-tempat ini kerap menjadi kunjungan pelancong yang ingin melepaskan tekanan dan melapangkan fikiran.

          Kunjungan ke tempat-tempat bersejarah di Malaysia dapat menambahkan pengetahuan sejarah saudara,  di samping menambahkan pengalaman kerana dapat menyaksikan tempat-tempat bersejarah dengan mata kepala sendiri. Tempat bersejarah yang paling terkenal ialah Koa A Famosa yang lokasinya di Melaka. Kota ini menjadi bukti bahawa Melaka pernah dijajah oleh Portugis pada abab ke-16. Selain itu, terdapat kompleks Sejarah Pasir Salak yang terletak di Kampung Gajah, Perak yang memperlihatkan kisah perjuangan orang Melayu menentang penjajah Inggeris suatu masas dahulu. Malahan, terdapat beberapa binaan yang terdapat di Kelantan ketika Jepun masuk ke negara saya pada tahun 1941.

          Saudara juga boleh berkunjung ke taman-taman air di negara ini, seperti Sunway Lagoon di Selangor, A Famosa Water Theme Park, dan Wet World di Johor. Tempat-tempat ini memberikan keseronokan dan kepuasan kepada saudara. Di samping itu, jika saudara ingin membeli-belah, saudara boleh mengunjungi pasar raya besar yang bagai candawan tumbuh di negara ini. Hampir setiap pasar raya ini menjadi medan perniagaan bagi peniaga kraf tangan dan cenderamata yang menarik dan murah harganya.Jualan mega  yang diadakan di pasar-pasar raya itu membolehkan saudara membeli barangan dengan harga yang berpatutan.

          Setakat ini sahaja penerangan saya kepada saudara. Saya berharap agar penjelasan ini dapat memikat hati saudara untuk berkunjung ke negara saya. Saya bersedia untuk menjadi pemandu pelancong saudara jika saudara datang ke sini. Semoga kita berjumpa dalam warkah yang lain pada masa akan datang

Sahabatmu,
Adenan


Peribahasa
  • makan angin - bersiar-siar
  • bagai cendawan tumbuh - terlalu banyak pada sesuatu masa 
  • memikat hari - menarik hari